Blog sukan bolasepak tempatan yang memaparkan bolasepak Kelantan dengan pelbagai cerita,rumours,kupasan isu semasa dan kontroversi pemain,jurulatih dan persatuan.

.:Follow Us:.

Kelantan Kukuh Cengkaman Liga

Posted by JustKelantanFA On Sunday, March 18, 2012 Comments

KELANTAN mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak itu mengumpul 23 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.

Kedua-dua gol skuad Kijang pada perlawanan itu dihasilkan oleh pemain pertahanan Mohd Daudsu Jamaluddin pada minit ke-10 dan Zairul Fitree Ishak pada minit ke-28.

Jiran mereka Terengganu yang sebelum ini menduduki tangga ketiga merampas kedudukan kedua liga daripada Lions XII dari Singapura selepas mereka menewaskan
Sabah, 6-3 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Skuad Penyu membuka tirai jaringan menerusi penyerang berbisa Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit keempat sebelum penyerang import dari Liberia, Francis
Forkey Doe meledak dengan tiga gol pada minit ke-11, 13 dan 77.

Dua lagi gol pasukan itu dihasilkan oleh Abdul Manaf Mamat dan Joseph Kalang Tie pada minit ke-42 dan ke-79 manakala tiga gol Sabah dijaringkan oleh Zainizam Marjan pada minit ke-33, pemain import dari Australia, Brendan Gan (minit ke-44) dan Mohd Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-64.

Lions XII mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak menerusi sepakan penalti oleh ketua pasukan Shahril Ishak pada minit ke-72 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching.

Selangor pula kembali ke landasan sebenar apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Nasional, Bukit Jalil menerusi jaringan pemain import dari Croatia, Bosko Balaban pada minit ke-58, P. Gunalan (minit ke-62) dan Mohd Amirul Hadi Zainal pada minit terakhir permainan.

Turut mencatat kemenangan ialah Negeri Sembilan yang menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Dua gol skuad Rusa dijaringkan pemain importnya dari Cameroon Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ke-24 dan pemain tengah S. Kunanlan pada minit ke-41
manakala jaringan tunggal pasukan pelawat diperoleh melalui ketua pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-59.

T-Team pula mencipta kejutan dengan menewaskan tuan rumah Johor FC, 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Arthur Henrique Bernhardt membuka jaringan seawal minit keempat untuk pasukan tuan rumah tetapi T-Team menyamakan kedudukan melalui rembatan deras Mohd Faiz Subri dari luar kotak penalti pada minit ke-18.

Khairul Izwan Khalid menjaringkan gol kedua T-Team pada minit ke-79 sebelum Azrul Hazran Amiludin memastikan kemenangan mutlak pasukan bimbingan Yunus Aliff
menerusi jaringan pada masa kecederaan. - Bern

.:Views and Suggestions:.