• The Fortress Stadium.
  • Kesebelasan Utama Kelantan vs Malaysia.
  • Kesebelasan Utama Kelantan lwn Selangor PKNS.
  • Penyokong Kelantan di Stadium Jalan Besar,Singapura.
  • Lakaran Stadium baru Kelantan.
Blog sukan bolasepak tempatan yang memaparkan bolasepak Kelantan dengan pelbagai cerita,rumours,kupasan isu semasa dan kontroversi pemain,jurulatih dan persatuan.

.:Follow Us:.

Bojan Kendali Latihan Kelantan

Posted by JustKelantanFA On Tuesday, February 28, 2012 Comments


JURULATIH dari Crotia, Bojan Hodak memulakan tugasnya, semalam, apabila ‘turun padang’ melatih pemain The Red Warriors, di Padang Mardi, Pasir Tumbuh, Kota Bharu.

Tinjauan mendapati Hodak serius mengawasi dan memberi tunjuk ajar kepada pemain sambil dibantu penolong jurulatih, Zahasmi Ismail dan Sidek Shamsuddin.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan diperoleh daripada jurulatih berusia 40 tahun itu kerana pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memaklumkan Hodak belum boleh ditemubual.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Hodak diberi tanggungjawab melatih skuad Kijang apabila Peter James Butler menghilangkan diri selepas direhatkan pengurusan Kafa.

Sumber dipetik sebagai berkata, Hodak dilantik sebagai pengendali terbaru pasukan Kelantan untuk meneruskan perjuangan The Red Warriors.

Sementara itu, Butler pulang ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur malam tadi bagi mengadakan rundingan dengan pengurusan Kafa hari ini.

“Saya akan menghadiri satu perjumpaan dengan pengurusan Kafa bagi membincangkan pelbagai perkara yang berbangkit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketika ditanya mengenai status jawatannya dalam pasukan Kelantan, Butler enggan mengulas.

“Saya akan berjumpa pengurusan dan dalam tempoh sehari dua saya tidak akan beri apa-apa komen,” katanya.

READ MORE

Dari Kelantan ke Old Trafford

Posted by JustKelantanFA On Comments
PRESIDEN KAFA, Tan Sri Annuar Musa (kiri) mengucapkan tahniah kepada Wan Mohamad Azren di atas kejayaannya dipilih sebagai pelatih terbaik Army.


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Pepatah ini amat sesuai ditujukan kepada Wan Mohamad Azren Wan Baharudin, 16, selepas terpilih sebagai pelatih terbaik Akademik Al-Hamra Red Warriors (Army), sekali gus berpeluang menyaksikan kelibat barisan bintang Manchester United.

Anak jati kelahiran Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu ini akan diterbangkan ke Old Trafford oleh Mister Potato yang juga rakan penaja juara 19 kali Liga Perdana Barclays itu pada hujung tahun ini.

Wan Mohamad Azren yang kini sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cengal berkata, dia tidak menyangka terpilih sebagai pelatih terbaik Army.

"Saya tak tahu nak kata apa, hanya mampu mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Mister Potato dengan hadiah yang diberikan.

"Ia merupakan hadiah bermakna buat saya. Saya tidak menyangka terpilih sebagai pelatih terbaik memandangkan saingannya cukup sengit dari rakan-rakan pelatih yang lain," kata Wan Mohamad Azren.

Tambahnya, peluang ke Old Trafford mahu digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman baharu dalam usaha meningkatkan lagi corak permainannya.

"Muncul sebagai pelatih terbaik Army merupakan titik tolak untuk saya terus maju dalam sukan bola sepak.

"Kejayaan ini merupakan satu permulaan baik buat diri saya, begitupun perjalanan masih lagi panjang dan saya perlu bekerja lebih keras untuk menyarung jersi The Red Warriors suatu hari nanti," ujarnya.

Anak muda yang beraksi di posisi tengah ini mengakui, dia meminati corak persembahan bintang United, Nani dan Paul Scholes yang disifatkan sebagai antara pemain terbaik.

Sementara itu, Pengurus Penajaan dan Activasi Mamee - Double Decker (M) Berhad, Sharszany Shahry Shahriman berkata, Wan Mohamad Azren akan ditaja sepenuhnya oleh Mister Potato yang merupakan antara penaja kelab gergasi England itu.

"Tajaan itu merupakan satu inisiatif yang dilakukan untuk memberikan pendedahan kepada bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak di negeri ini," katanya.


READ MORE

Bojan Hodak ganti Butler

Posted by JustKelantanFA On Monday, February 27, 2012 Comments

Bojan Hodak

URA-URA bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army) Bojan Hodak akan menggantikan Peter James Butler sebagai ketua jurulatih Kelantan bukan lagi ‘cakap kosong’ kerana ia sudah menjadi kenyataan.

Menurut sumber, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) buntu untuk menyelesaikan masalah Butler yang menghilangkan diri selepas direhatkan.

Katanya, memang sudah sah Hodak dilantik sebagai pengendali terbaru pasukan Kelantan untuk meneruskan perjuangan Red Warriors.

Menguatkan lagi kenyataan itu, Hodak muncul pada perlawanan persahabatan antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Singapura (SAFFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin dan duduk di sebelah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Hodak dilihat seperti merencanakan sesuatu sebelum bergelar jurulatih kepada pasukan Kelantan.

Sebelum ini, isu mengenai Butler hangat diperkatakan selepas beliau meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemilihan pemain import.

Butler mendakwa tidak tahu menahu mengenai pemain import baru Kelantan, Nwoha Onyekachi yang diturunkan dalam perlawanan Liga Super ketika menentang Selangor, selain menyatakan tidak tahu apa fungsinya sebagai jurulatih ketika bersama Kelantan.

Bagaimanapun, isu tidak sehaluan itu dianggap selesai apabila Butler membuat perjumpaan dengan Azman pada 17 Februari lalu dan memilih untuk memberi perhatian membimbing pasukan.

Tidak lama selepas itu, Butler tiba-tiba direhatkan, sedangkan skuad Kijang baru saja menewaskan Sarawak untuk layak ke pusingan kedua dalam saingan Piala FA. Tempat Butler digantikan penolong jurulatih, Sidek Samsuddin.

Butler kemudian didakwa menghilangkan diri membuatkan isu mengenainya bertambah ‘kalut’.

READ MORE

Peter Butler Kecewa Digantung Kafa

Posted by JustKelantanFA On Sunday, February 26, 2012 Comments


Peter Butler telah digantung oleh Kelantan FA bermula pada 23 Februari walaupun beliau telah membawa Kelantan ke puncak Liga Super dan mara ke pusingan kedua Piala FA.

Kelantan mengatakan bahawa mereka telah merehatkan Butler dari segala aktiviti berkenanaan bola sepak dengan pasukan Kelantan.

Kini Peter Butler hanya mahu menamatkan hal ini dengan penun bermaruah.

"Kelihatannya jelas saya dikritik. Saya tidak akan mendedahkan segalanya tetapi saya telah membawa pasukan saya ke puncak liga dan semua ini yang berlaku agak tidak adil buat saya," kata bekas pemain West Ham United itu kepada akhbar Today.

"Saya sedih dan kecewa tetapi saya sedang cuba untuk belajar dari pengalaman. Saya akan minta nasihat dari peguam saya dan menyediakan respon yang bermaruah dan kenyataan benar tentang apa yang sebenarnya telah berlaku," tambahnya lagi.

Butler telah diarahkan untuk memberikan penjelasan kepada pengurusan selepas beliau memberitahu pihak media bahawa beliau tidak mempunyai hak dalam pemilihan pemain import.

Isu itu kelihatannya telah menyebabkan pertelingkahan antara Butler dengan Presiden Kelantan FA, Tan Sri Annuar Musa.

Sumber-sumber mendedahkan bahawa bekas penolong jurulatih Shandong Luneng, Bojan Hodak adalah antara calon untuk menggantikan Butler yang masih belum meninggalkan jawatannya.

"Saya tidak mahu komen tentang Bojan ataupun Annuar Musa. Ini sudah menjadi kes undang-undang. Jika mereka tidak mahu saya lagi, saya faham, tetapi saya mempunyai 19 bulan lagi dalam kontrak saya. Saya akan mengambil masa untuk berfikir bagaimana saya akan respon kepada mereka," kata Butler.

Pengurus Kelantan Azman Ibrahim memberitahu Sinar Harian bahawa Butler masih lagi keutua jurulatih tetapi akan direhatkan sehingga Butler memberi penjelasan dan penolongnya Zahani dan Sidek akan memikul tugasnya sementara itu.

"Kelantan kini dalam masa yang penting. Kami bertemu Negeri Sembilan dalam liga pada 4 Mac dan pasukan dari Vietnam, Navibank Saigon pada 7 Mac dalam Piala AFC. Dalam masa seperti ini, anda tidak seharusnya merehatkan jurulatih anda," kata Butler.

"Saya jurulatih yang teratur dan tekun dalam melakukan tugas saya. Kini saya hanya mahu hal ini tamat dengan penuh maruah."

READ MORE

Stadium Baru Kelantan Bernilai 300 Juta

Posted by JustKelantanFA On Saturday, February 25, 2012 Comments
Lakaran Stadium Kelantan


Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal memiliki sebuah stadium sendiri di sebuah tapak yang dikurniakan Sultan Muhammad Ke-V di Bandar Baru Tunjong.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata stadium itu, yang bernilai kira-kira RM300 juta, akan dibina secepat mungkin di tanah seluas kira-kira lapan hektar.

"Sultan Muhammad Ke-V telah berkenan untuk membenarkan tanah seluas kira-kira 40 hektar di kawasan Tunjong dibangunkan, termasuk membina stadium canggih seluas lapan hektar di mana reka bentuknya berdasarkan Stadium Cardiff City.

"Baginda juga bersetuju untuk melantik Syarikat Casamesra Sdn Bhd untuk membina stadium berkenaan berdasarkan reka bentuk yang diberikan oleh KAFA, selain itu, KAFA juga akan menguruskan mengenai pengurusan stadium berkenaan," katanya ketika ditemui pada majlis penajaan Mamee-Double Deecker (M) Berhad kepada persatuan itu hari ini.

Pada majlis itu, Mamee-Double Deecker (M) Berhad memeterai perjanjian dengan KAFA dan menaja Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) dengan jumlah kira-kira RM200 ribu untuk program pembangunan bola sepak di Kelantan.

Annuar berkata stadium baru itu mampu menampung kira-kira 30,000 penonton pada satu-satu masa.

"Kita memerlukan sebuah stadium yang baru kerana stadium Sultan Muhammad Ke-IV sekarang uzur dan tidak dapat menampung jumlah penonton yang semakin meningkat," katanya.

Kerajaan Kelantan sebelum ini berhasrat membina sebuah stadium dan kompleks sukan di Bukit Merbau Pasir Puteh, kira-kira 40 kilometer dari sini.

Bagaimanapun, sehingga kini proses pembinaan masih belum dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, ARMY yang dikendalikan bekas pengendali pasukan MyTeam, Bojan Hodak, berhasrat menghantar pelatihnya ke Jepun untuk menimba pengalaman.

Beliau berkata Jepun dipilih kerana negara matahari terbit itu menggunakan model kejurulatihan yang bersesuaian dengan Malaysia.
READ MORE

KAFA rehatkan Peter Butler

Posted by JustKelantanFA On Friday, February 24, 2012 Comments


Pengendali The Red Warriors, Peter Butler menjadi jurulatih pertama yang menerima nasib malang dalam kancah Liga Malaysia musim ini apabila direhatkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Tindakan drastik itu diambil setelah Butler sebelum ini dilihat lantang mengeluarkan kenyataan tidak berpuas hati kepada pihak media mengenai campur tangan pihak pengurusan terutamanya dalam menentukan kedudukan pemain import Kelantan sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, keputusan merehatkan Butler diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Kafa yang bermesyuarat pada 18 Februari lalu, namun baru di kuat kuasa semalam memandangkan pihaknya tidak mahu pasukan hilang fokus ketika saingan pusingan pertama Piala FA menentang Sarawak, minggu lalu.

“Kita tidak menggantung Butler tetapi hanya merehatkan sahaja sehingga dia tampil memberikan penjelasan mengenai ketidakpuashatiannya mengenai pelbagai perkara berbangkit terhadap pihak pengurusan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
Pada masa sama katanya, Kafa beranggapan Butler tidak boleh melatih pasukan selagi jurulatih itu sedang menghadapi masalah ini.

Namun, pihak pengurusan memberi peluang kepada Butler untuk tampil memberi penjelasan dan Kafa katanya sedia berbincang secara terperinci
mengenai masalah dihadapi jurulatih itu.

“Butler masih Ketua Jurulatih Kelantan dan kita tidak menetapkan tempoh masa tertentu mengenai keputusan merehatkannya. Tugas melatih
pasukan kini diuruskan kepada dua penolongnya, Zahasmi Ismail dan Sideek Samsuddin,” katanya.
Menurut Azman, soal mencari pengganti Butler tidak timbul sama sekali memandangkan pihaknya tidak pernah berbincang mengenai perkara tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan baru-baru ini.

“Pemain Kelantan kembali menjalani latihan bermula hari ini (semalam) dan ia tetap berjalan seperti biasa meskipun tanpa kelibat Butler di atas padang,” katanya.

READ MORE

Penyokong gesa Kafa utama pemain tempatan

Posted by JustKelantanFA On Wednesday, February 22, 2012 Comments

DI SEBALIK dilema dihadapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mencari pemain import berkualiti, penyokong The Red Warriors pula meminta Kafa supaya tidak terdesak menggunakan pemain import berikutan pemain tempatan lebih mampu menggalas tanggungjawab untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, Kafa tidak perlu mengharapkan khidmat pemain import jika prestasi pemain tempatan lebih hebat.

Sambil tidak menafikan tindakan Kafa mencari pemain import adalah satu usaha yang baik, beliau berkata, jika berterusan dilanda dilema, masalah itu mungkin menjejaskan pasukan berikutan pemain perlu menyesuaikan diri dengan setiap import yang diambil.

“Kehadiran pemain import sepatutnya memantapkan lagi pasukan tapi perkara sebaliknya berlaku dan ini mengecewakan penyokong, malah pemain tempatan nampaknya lebih hebat,” katanya.

Sebelum ini, aksi pemain import baru, Nwoha Onyekachi dari Nigeria yang diturunkan pada saingan piala FA menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu nyata tidak berjaya memikat hati penyokong berikutan mempamer aksi hambar.

Katanya, secara peribadi beliau berpendapat, penyerang dari Lubnan, Mohammed Ghaddar lebih baik jika dibandingkan dengan Nwoha.

“Walaupun Ghaddar gagal menjaringkan gol, persembahan dia lebih baik, malah semangat yang dipamerkan ketika beraksi memberi keyakinan kepada penyokong dan kami percaya Ghaddar mampu membantu Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pengurusan Kafa dan jurulatih akan menilai kembali prestasi Nwoha sementara menunggu kepulangan Ghaddar dan sesi pertukaran pemain import April ini.

“Ghaddar pulang ke Lubnan untuk melawat ayahnya yang sakit dan akan kembali bersama Kelantan bulan depan untuk saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya.

READ MORE

Nwoha kecewakan peminat Kelantan

Posted by JustKelantanFA On Monday, February 20, 2012 Comments

Aksi lemah pemain import Kelantan Onyekachi Nwoha sepanjang 83 minit mengecewakan hampir 10,000 penyokong setia The Red Warriors yang hadir menyaksikan perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, kelmarin.

Tanpa sebarang gerakan menarik serta kerap kali kehilangan bola membuktikan dia bukanlah pembelian terbaik buat penyandang juara Liga Super 2011 bagi mengharungi saingan musim ini.

Nwoha yang menggantikan tonggak kebangsaan Lubnan, Mohammad Ghaddar, selepas pemain tersebut gagal menemui sentuhan pemusnahnya, tidak seperti yang diharapkan apabila aksinya tidak setanding dengan tarafnya sebagai pemain import.

Ketua jurulatih Kelantan, Peter Butler ketika ditemui selepas perlawanan menentang Sarawak enggan mengulas mengenai persembahan pemain yang berasal dari Nigeria itu.

"Lebih bagus saya fokus kepada persiapan pasukan untuk perlawanan selepas ini. Pagi Isnin ini mungkin saya akan buat penilaian. Semua peminat yang berada di stadium dan di mana-mana boleh menilainya sendiri.

"Semua pemain bekerja keras tetapi saya boleh tengok dia (Nwoha) belum cergas sepenuhnya. Saya mesti adil dan berikannya masa," katanya.

Pengendali kelahiran Halifa,x England itu membayangkan mahu memberikan peluang kepada pemain tersebut untuk membuktikan kemampuan.

"Saya suka memberikan dia masa untuk membuktikan kemampuan tetapi, saya mahu lihat perkembangan yang bagus dan kita juga mengharapkan dia selalu bermain dengan baik dan menjaringkan gol.

"Saya harap dia dapat gunakan sebaik mungkin peluang ini," ujarnya.

READ MORE

Kelantan mara Pusingan Kedua Piala FA

Posted by JustKelantanFA On Saturday, February 18, 2012 Comments



Norfarhan wira The Red Warriors

Jaringan pada masa kecederaan oleh Norfarhan Mohamad memastikan Kelantan terus berada di landasan sebenar pemburunan trofi Piala FA musim ini di Stadium Sultan Mohammad IV.


Namun Sarawak tidak memberi laluan mudah kepada anak-anak buah Peter Butler sebelum tunduk 2-1.

Namun tuan rumah dikejutkan dengan jaringan Azizan Baba yang menyudahkan umpanan Vedran Muratovic pada minit ke-20.

Rentak The Red Warriors sebelum itu terganggu ekoran kehilangan Norshahrul Idlan Talaha yang meminta ditukarkan walaupun belum sampai 15 minit permainan berlangsung akibat dibelenggu masalah lutut.

Sarawak bagaimanapun gagal mempertahankan kelebihan mereka pada minit ke-34 apabila sepakan penjuru Badri Radzi berjaya menemui kepala Indra Putra Mahayuddin.

Sepakan rendah Aziz Ismail mengakhiri situasi cemas perlawanan beberapa minit sebelum permainan berehat.

Kelantan ternyata lebih bersemangat dalam usaha meletakkan mereka dalam landasan selesa perlawanan tetapi kealpaan Daudsu Jamaluddin nyaris membawa padah apabila Obinna Nwaneri lebih pantas mengeluarkan bola tolakan Ashri Chuchu sebelum melintasi garisan gol.

Pada minit ke-68, S. Chanturu membuatkan penyokong sendiri gigit jari ekoran mempersiakan peluang terbuka dalam kotak penalti.

Sepuluh minit kemudian, Vedron sepatutnya meletakkan pasukan Ngap Sayot itu kembali di depan tetapi menyepak tinggi ketika berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Shahrizan Ismail.

Norfarhan membalas kepercayaan Peter Butler yang memasukkannya pada penghujung perlawanan apabila meledakkan gol kemenangan dari celah pemain lawan.



READ MORE

Isu Butler-Kafa selesai

Posted by JustKelantanFA On Friday, February 17, 2012 Comments

Percanggahan pendapat antara pengendali Kelantan Peter Butler dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selesai apabila kedua-dua pihak mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan kemelut yang timbul.

Setiausaha KAFA, Azman Ibrahim berkata, pertemuan tersebut merungkai segala kemelut yang melibatkan pihak pengurusan dengan pengendali kelahiran Halifax, England itu.

Menurut Azman, isu berkenaan hanyalah salah faham dan mengakui masalah komunikasi menjadi punca kepada tercetusnya konfrontasi kedua-dua pihak.

"Tidak timbul langsung soal campur tangan oleh pihak pengurusan. Ia hanyalah salah faham mengenai pemilihan pemain import baru, Onyekachi Nwoha apabila kita perlu menyegerakan urusan pendaftarannya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam keadaan tergesa-gesa.

"Pemain import ini tiba di Kota Bharu pada 11 Februari lalu dan Butler sendiri sudah dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa kita akan mengambil pemain import keempat.

"Kita tidak sempat memperkenalkan pemain ini kepada beliau dan mungkin di situ timbul salah faham mengenai perkara ini," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil ke atas Butler ekoran kenyataan keras beliau sebelum ini, Azman berkata, ia akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan KAFA yang akan bermesyuarat, esok.

READ MORE

Rekod tanpa kalah Kelantan Lebur

Posted by JustKelantanFA On Wednesday, February 15, 2012 Comments

Pendahulu liga, Kelantan gagal mempertahankan rekod tanpa kalahnya apabila tewas (1-2) dalam perlawanan menentang Selangor yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

Selepas seminit perlawanan babak kedua dimulakan, Selangor meraih gol pembukaan menerusi Syafiq Rahim apabila dia berjaya merembat deras diluar kotak penalti yang terus menerjah jaring kiri gol pelawat, sekaligus meletakkan Selangor didepan.

Kemunculan pertama, tonggak import Bosko Balaban nyata membuahkan hasil apabila dia jelas tidak cemas untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat untuk menjaringkan gol kedua di minit ke-61.

Tersentak dengan jaringan berkenaan Kelantan melakukan serangan bertali arus dan mempunyai beberapa peluang terhidang namun sekali lagi gagal memecah kebuntuan mendapatkan gol penyamaan.

Kelantan maraih gol saguhati hanya di penghujung perlawanan hasil rembatan Subramaniam yang muncul dalam keadaan kelam kabut. Jaringan tersebut sedikit sebanyak menaikkan semangat barisan Kelantan, namun ia terlalu lewat untuk mengejar Selangor.

Terdahulu, Selangor sudah pun memiliki beberapa peluang terbaik di separuh masa pertama. Beberapa serangan dijelmakan oleh Safiq Rahim yang melorongkan bola kepada jentera pemusnah baru mereka yang berjaya mengawal bola dan membuat hantaran namun gagal disudah rakan.

Kelantan turut mencipta beberapa peluang terutamanya menerusi Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingannya Indra Putra Mahyudin namun hampa apabila benteng pertahanan yang dikawal oleh Ramez Dayoub bijak membaca hantaran. Kebuntuan untuk mencari gol kekal hingga separuh masa pertama tamat.

READ MORE

Butler puji aksi mantap Nurul Azwan

Posted by JustKelantanFA On Monday, February 13, 2012 Comments

PEMAIN sayap kiri Kelantan, Nurul Azwan Roya mendapat pujian daripada ketua jurulatihnya, Peter James Butler selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu Kelantan menewaskan Terengganu 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.

Nurul Azwan berkata, dia tidak menyangka akan disenaraikan dalam kesebelasan utama namun selepas diberi kepercayaan daripada jurulatih, pemain berasal dari Pasir Puteh itu tekad membuktikan kemampuan supaya tidak menghampakan pasukan.

Pemain dari Pasir Puteh dikenali dengan kelincahannya membantu The Red Warriors di bahagian tengah selain ketua pasukan, Mohd Badri Radzi dan Mohd Shakir Shaari untuk mencipta ruang bagi mengasak kubu Terengganu.

“Saya hanya melaksanakan arahan jurulatih dan berusaha memastikan Kelantan tidak tewas kepada Terengganu selain tidak mahu menghampakan penyokong yang pastinya mahu melihat permainan terbaik daripada pemain.

“Saya akan cuba mengekalkan prestasi cemerlang ini berikutan Kelantan bakal berdepan Selangor, Selasa ini (esok),” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Butler juga menganggap persembahan mantap daripada Nurul yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan terbabit menjadi faktor penting di sebalik kejayaan Kelantan.
“Saya gembira dan berpuas hati dengan aksi Nurul malam ini dan saya tahu dia memang bagus pada perlawanan malam ini (kelmarin).
READ MORE

Kafa beri kata dua kepada pemain import

Posted by JustKelantanFA On Comments



Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi tempoh sehingga hujung Mac ini kepada dua tonggak importnya, Mohammad Ghaddar dan Obinna Nwaneiri untuk meningkatkan prestasi jika mahu kekal dalam pasukan tersebut.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, pihaknya masih memberi ruang kepada kedua-dua pemain untuk membuktikan kemampuan sebelum mengambil tindakan berhubung masa depan mereka bersama The Red Warriors.

"Sekiranya kedua-dua pemain ini masih gagal membuktikan kemampuan mereka bersamaThe Red Warriors, kita akan bawa masuk pemain yang lebih baik untuk sesi pendaftaran baru pemain import, April nanti.

"Kita sedang menguji beberapa pemain import dalam usaha untuk memantapkan pasukan. Kelantan memerlukan pemain yang berkualiti kerana mereka mampu menjadi penentu kekuatan pasukan di masa akan datang," katanya ketika sidang akhbar di sini kelmarin.

Tambahnya lagi, selepas ini pihaknya akan membuat penilai sewajarnya sebelum mengambil pemain import baru.

"Kita akan pergi tengok pemain yang sedang beraksi dalam kelab sebelum diambil untuk beraksi bersama The Red Warriors. Selain itu, kita tidak mahu mengambil risiko mendapatkan pemain daripada ejen.

"Hal ini kerana, apa yang diberitahu ejen dengan aksi yang dipamer di atas padang berbeza dengan kehendak pihak pengurusan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, Kafa akan menganjurkan karnival bola sepak sempena ulang tahun pertama penubuhan Akademi Al - Hambra Red Warriors (Army).

Menurutnya, karnival tersebut dijangka berlangsung pada 25 Febuari ini bertempat di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV.

"Kita akan adakan perlawanan bola sepak antara pasukan Army bawah 14 dan bawah 16 untuk memilih juara karnival. Melalui perlawanan ini kita akan memilih pemain terbaik keseluruhan akademi bagi semua posisi.

"Apa yang lebih penting untuk tahun ini kita bercadang untuk menubuhkan pasukan di bawah kelolaan Kafa. Kita akan tubuhkan pasukan belia bawah 19 dan melalui karnival kita akan tubuhkan pasukan bawah 16 dan 14,'' katanya.

READ MORE

Kelantan rampas kembali takhta Liga Super

Posted by JustKelantanFA On Sunday, February 12, 2012 Comments


KUALA LUMPUR, (Bernama) - Kelantan kembali menerajui kedudukan teratas Liga Super hasil kejayaan menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Baharu malam ini.



Pasukan terkenal dengan jolokan 'The Red Warriors' itu kini mengutip 17 mata iaitu dua mata di hadapan pencabar terdekat Perak selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Penyerang berbisa Norsharul Idlan Talaha memecah kebuntuan pasukan tuan rumah hasil jaringan pada minit ke-37 menerusi hantaran kemas Mohd Nurul Azwan Roya.

Kelantan kemudiannya menggandakan kedudukan 2-0 menerusi kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-52.

Gol tunggal Terengganu hanya hadir pada pada minit terakhir perlawanan menerusi jaringan Mohd Ashari Shamsudin.

Sementara itu, harapan Perak untuk terus menduduki tangga teratas liga berkecai apabila tewas 0-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol T-Team dijaringkan Bojan Petric pada minit ke-56 dan sepakan penalti Zairo Anuar Zailani (minit ke-88).

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, pasukan Selangor seperti hilang bisa apabila tewas 0-2 kepada pasukan bertaraf kelab, Selangor PKNS.

Gol Selangor PKNS dijaringkan oleh Rudie Ramli pada minit ke-33 dan Helmi Remeli (minit ke-60).

Sarawak pula menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Vedran Murotovic pada minit ke-45 dan Asri Chuchu pada minit ke-84, Manakala gol tunggal Felda United di sumbangkan oleh Mohd Firdaus Faudzi.

Pasukan Lions XII mengalahkan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Dua tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Shahril Ishak pada minit ke-31 dan minit ke-60 dan Shahdan Sulaiman menjaringkan gol ketiga pada minit ke-50.

Negeri Sembilan memperoleh gol tunggal hasil jaringan Mohd Firdaus Azizul pada minit ke-90.

Kedah pula seri 2-2 dengan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol kedah dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-38 dan Mohd Faizal Abu Bakar (minit ke-39) manakala dua gol Sabah disumbangkan oleh Sharudin Yakup pada minit 21 dan 56.

Pasukan tercorot, Kuala Lumpur terus dihantui kekalahan setelah tumpas 0-2 kepada Johor FC di Stadium Hang Jebat, Melaka. Gol Johor FC dijaringkan Mohd Haris Safuan Mohd Kamal pada minit keenam dan Jasazrin Jamaluddin pada minit ke-83.



READ MORE

Perhintungan dua gergasi

Posted by JustKelantanFA On Saturday, February 11, 2012 Comments


SELEPAS kempunan memungut mata penuh ketika bertandang ke Kota Kinabalu (Rabu lalu), skuad The Red Warriors berpeluang mengatasi kekecewaan itu di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Namun, apa yang pasti rentak perjuangan Kelantan untuk memungut mata tidak semudah yang disangka apabila mereka dijangka turun berdepan musuh tradisi, Terengganu.

Pertembungan dua gergasi Pantai Timur yang sentiasa menjadi tumpuan sejak sekian lama bakal membuktikan siapa lebih jaguh selepas kedua-dua pasukan itu hanya dipisahkan dengan satu mata dan masing-masingnya menghuni tangga kedua dan ketiga liga ketika ini.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim tanpa berselindung mahu semua pemain Kelantan fokus serta memberikan persembahan yang terbaik dalam misi utama untuk merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga daripada pasukan Perak.

Menurutnya, pertembungan kali ini juga membawa misi menebus maruah selepas Kelantan tewas dalam perlawanan Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia musim lalu.

“Pemain perlu ingat, kita turun dengan misi melangsaikan hutang lalu. Biarpun ia sekadar tiga mata bukannya perlawanan merebut piala, namun kita tidak boleh tewas, terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri.

“Terengganu sebuah pasukan yang hebat dan mantap di semua posisi dan saya yakin semua pemain menyedari perkara tersebut.

“Justeru, mereka perlu berusaha untuk membenam cabaran Terengganu kali ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, kehadiran penyerang import Terengganu, Francis Doe Forkey yang bergandingan bersama Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Samsudin perlu diberi perhatian oleh benteng pertahanan Kelantan.

Katanya, Terengganu juga mempunyai pemain yang seimbang di segenap posisi terutama dua pemain kebangsaan di benteng pertahanan, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi.

“Muhammad Ghaddar dan Shakir Shaari mengalami sedikit kecederaan dan kita harap kedua-dua mereka mampu pulih dalam tempoh terdekat dan boleh diturunkan malam esok (malam ini).

“Kita juga mengharapkan sentuhan Ghaddar akan lebih kemas dan mengharapkan gandingannya dengan Norshahrul Idlan Talaha mampu memusnahkan gawang lawan,” ujarnya.

Beliau juga menaruh harapan supaya pemain import yang beraksi di posisi pertahanan, Obinna Nwaneri dapat beraksi dengan baik dan memberikan impak kepada pasukan selain mampu menyaingi kelincahan Forkey Doe.

Bagaimanapun, apa yang meresahkan beliau adalah faktor keletihan selepas para pemain terpaksa mengharungi tempoh penerbangan yang panjang selepas aksi menentang Sabah di Kota Kinabalu tempoh hari.

“Mereka semua pemain profesional dan saya harap semua pemain dapat rehat secukupnya, makan dan tidur yang cukup untuk kembali cergas ketika menentang Terengganu.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan menyeru para penonton supaya menjaga disiplin dan tingkah laku.

“Jangan melakukan provokasi, terutamanya kepada pemain sendiri kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan, malah merugikan pasukan,” jelasnya.


P/s Kosmo:

READ MORE

Liga Super:Kelantan vs Terengganu

Posted by JustKelantanFA On Friday, February 10, 2012 Comments


Pertembungan Pantai Timur

Pahlawan Merah akan menjadi tuan rumah kepada Sang Penyu dalam perlawanan yang dialu-alukan Liga Super musim 2012 ini.

Kedua-dua gergasi Pantai Timur ini yang disenaraikan dalam kelompok elit Liga Malaysia semenjak lahirnya kejohanan ini dari tahun 1921, akan bertemu dalam musim 2012 malam Sabtu.

Kedudukan mereka yang sentiasa mengekori sama sendiri sudah dijangka, tetapi perlawanan yang sebelumnya dianggap sebagai pertembungan pasukan teratas liga kini disulitkan dengan Perak di puncak liga.

Ia jelas yang kedua-dua pasukan belum mencapai rentak permainan yang diingini lagi.

Walaupun jurulatih tersayang Peter Butler telah kembali ke pasukan yang dia telah bina pada tahun 2008, ia jelas yang pasukannya belum lagi menyesuaikan diri kepada taktiknya.

Terdapat juga beberapa pihak yang menyoal pengambilan dua pemain import "yang mana sumbangan mereka cukup mengecewakan".

Keputusan seri tanpa gol terakhir Kelantan dengan Sabah telah menonjolkan prestasi beberapa pemain yang kelihatan teragak-agak dalam gerak serangan.

Apa yang menggerunkan adalah walaupun tidak bermain yang baik, mereka telah menjaring gol terbanyak setakat ini. Tonggak serangan Pahlawan Merah masih berfungsi dengan baik dengan kesemua penyerang utama dapat membolos pihak lawan.

Sebaliknya, ia jelas yang Sang Penyu meletakkan harapan kepada Forkey Doe. Pemain Liberia itu mampu mereka gol sendiri tanpa apa jua sokongan dari rakan sepasukan tatapi beban menjaringkan gol mungkin terlalu berat untuk diangkat sepanjang musim.

Abdul Shukur, Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf sering berfungsi sebagai penarik perhatian dari Forkey Doe tetapi mampu menjaringkan gol sendiri dan berani membuat percubaan dari jauh.

Perbezaan dari segi statistik antara mereka adalah setakat ini, matlamat Tan Sri Annuar Musa untuk mencapai rekod tanpa kalah nampaknya mampu dicapai.

Kelantan akan didorongi para penyokong fanatik Pahlawan Merah apabila bermain di padang sendiri dan semangat para penyokong ternyata adalah sumbangan yang terpenting dalam pertembungan sebegini

READ MORE

.:Views and Suggestions:.