.:Follow Us:.
Perhintungan dua gergasi

SELEPAS kempunan memungut mata penuh ketika bertandang ke Kota Kinabalu (Rabu lalu), skuad The Red Warriors berpeluang mengatasi kekecewaan itu di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
Namun, apa yang pasti rentak perjuangan Kelantan untuk memungut mata tidak semudah yang disangka apabila mereka dijangka turun berdepan musuh tradisi, Terengganu.
Pertembungan dua gergasi Pantai Timur yang sentiasa menjadi tumpuan sejak sekian lama bakal membuktikan siapa lebih jaguh selepas kedua-dua pasukan itu hanya dipisahkan dengan satu mata dan masing-masingnya menghuni tangga kedua dan ketiga liga ketika ini.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim tanpa berselindung mahu semua pemain Kelantan fokus serta memberikan persembahan yang terbaik dalam misi utama untuk merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga daripada pasukan Perak.
Menurutnya, pertembungan kali ini juga membawa misi menebus maruah selepas Kelantan tewas dalam perlawanan Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia musim lalu.
“Pemain perlu ingat, kita turun dengan misi melangsaikan hutang lalu. Biarpun ia sekadar tiga mata bukannya perlawanan merebut piala, namun kita tidak boleh tewas, terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri.
“Terengganu sebuah pasukan yang hebat dan mantap di semua posisi dan saya yakin semua pemain menyedari perkara tersebut.
“Justeru, mereka perlu berusaha untuk membenam cabaran Terengganu kali ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, kehadiran penyerang import Terengganu, Francis Doe Forkey yang bergandingan bersama Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Samsudin perlu diberi perhatian oleh benteng pertahanan Kelantan.
Katanya, Terengganu juga mempunyai pemain yang seimbang di segenap posisi terutama dua pemain kebangsaan di benteng pertahanan, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi.
“Muhammad Ghaddar dan Shakir Shaari mengalami sedikit kecederaan dan kita harap kedua-dua mereka mampu pulih dalam tempoh terdekat dan boleh diturunkan malam esok (malam ini).
“Kita juga mengharapkan sentuhan Ghaddar akan lebih kemas dan mengharapkan gandingannya dengan Norshahrul Idlan Talaha mampu memusnahkan gawang lawan,” ujarnya.
Beliau juga menaruh harapan supaya pemain import yang beraksi di posisi pertahanan, Obinna Nwaneri dapat beraksi dengan baik dan memberikan impak kepada pasukan selain mampu menyaingi kelincahan Forkey Doe.
Bagaimanapun, apa yang meresahkan beliau adalah faktor keletihan selepas para pemain terpaksa mengharungi tempoh penerbangan yang panjang selepas aksi menentang Sabah di Kota Kinabalu tempoh hari.
“Mereka semua pemain profesional dan saya harap semua pemain dapat rehat secukupnya, makan dan tidur yang cukup untuk kembali cergas ketika menentang Terengganu.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan menyeru para penonton supaya menjaga disiplin dan tingkah laku.
“Jangan melakukan provokasi, terutamanya kepada pemain sendiri kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan, malah merugikan pasukan,” jelasnya.
P/s Kosmo:
Liga Super:Kelantan vs Terengganu

Pertembungan Pantai Timur
Pahlawan Merah akan menjadi tuan rumah kepada Sang Penyu dalam perlawanan yang dialu-alukan Liga Super musim 2012 ini.
Kedua-dua gergasi Pantai Timur ini yang disenaraikan dalam kelompok elit Liga Malaysia semenjak lahirnya kejohanan ini dari tahun 1921, akan bertemu dalam musim 2012 malam Sabtu.
Kedudukan mereka yang sentiasa mengekori sama sendiri sudah dijangka, tetapi perlawanan yang sebelumnya dianggap sebagai pertembungan pasukan teratas liga kini disulitkan dengan Perak di puncak liga.
Ia jelas yang kedua-dua pasukan belum mencapai rentak permainan yang diingini lagi.
Walaupun jurulatih tersayang Peter Butler telah kembali ke pasukan yang dia telah bina pada tahun 2008, ia jelas yang pasukannya belum lagi menyesuaikan diri kepada taktiknya.
Terdapat juga beberapa pihak yang menyoal pengambilan dua pemain import "yang mana sumbangan mereka cukup mengecewakan".
Keputusan seri tanpa gol terakhir Kelantan dengan Sabah telah menonjolkan prestasi beberapa pemain yang kelihatan teragak-agak dalam gerak serangan.
Apa yang menggerunkan adalah walaupun tidak bermain yang baik, mereka telah menjaring gol terbanyak setakat ini. Tonggak serangan Pahlawan Merah masih berfungsi dengan baik dengan kesemua penyerang utama dapat membolos pihak lawan.
Sebaliknya, ia jelas yang Sang Penyu meletakkan harapan kepada Forkey Doe. Pemain Liberia itu mampu mereka gol sendiri tanpa apa jua sokongan dari rakan sepasukan tatapi beban menjaringkan gol mungkin terlalu berat untuk diangkat sepanjang musim.
Abdul Shukur, Abdul Hadi Yahya dan Abdul Manaf sering berfungsi sebagai penarik perhatian dari Forkey Doe tetapi mampu menjaringkan gol sendiri dan berani membuat percubaan dari jauh.
Perbezaan dari segi statistik antara mereka adalah setakat ini, matlamat Tan Sri Annuar Musa untuk mencapai rekod tanpa kalah nampaknya mampu dicapai.
Kelantan akan didorongi para penyokong fanatik Pahlawan Merah apabila bermain di padang sendiri dan semangat para penyokong ternyata adalah sumbangan yang terpenting dalam pertembungan sebegini
Apek tidak layan gosip liar

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang dilanda pelbagai kontroversi menjelaskan beliau hanya mahu fokus terhadap karier bola sepak berbanding gosip liar berkaitan dirinya.
Beliau menegaskan mahu memberi tumpuan kepada kerjayanya berbanding melayan sebarang 'isu luar padang'.
"Saya tidak mahu komen perkara luar.
"Saya hanya nak fokus kepada permainan," katanya kepada Utusan Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.
Khairul Fahmi atau Apek memberitahu, apa pun juga isu gosip yang timbul tidak sama sekali menjejaskan tumpuannya dalam kariernya.
Ini terbukti pada perlawanan Kelantan menentang Sabah dalam Liga Super di sini kelmarin yang berkesudahan seri tanpa jaringan.
Pada perlawanan itu, Apek membuktikan kemampuannya apabila berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada trio penyerang tuan rumah yang diketuai Michael Baird.
Nasib turut menyebelahi Apek apabila pemain gantian, Leopold Alfonso Otong gagal menyudahkan hantaran Baird pada masa kecederaan meskipun telah melepasi perangkapoff-said.
Sementara itu, jurulatih Kelantan, Peter Butler menyifatkan keputusan tanpa jaringan itu adil setelah dua peluang gol terbaik Kelantan gagal disempurnakan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamed Gadar minit ke-12 dan 85.
"Kita sia-siakan dua peluang paling menarik. Tetapi, secara keseluruhannya, ia satu keputusan adil buat kedua-dua pasukan, saya tidak kecewa.
"Saya gembira berkongsi mata (dengan Sabah) dan pulang dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dan kami semakin bertambah baik," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Butler turut memuji semangat juang pasukan tuan rumah yang bermain baik sehingga mampu mengekang penyerang Red Warriors daripada menjaringkan sebarang gol.
"Kami harus menghormati pemain Sabah yang mempunyai semangat juang tinggi.
"Malah mereka juga telah memaksa kami bekerja keras menjaga kubu Kelantan malam ini (semalam)," ujarnya.
Bagi jurulatih Sabah, Justin Ganai, pemainnya telah memberi persembahan terbaik meskipun gagal meraih mata penuh seperti yang diharapkan.
Kelantan pertahan rekod Kemenangan

MISI The Red Warriors untuk mengutip mata penuh ketika bertandang ke Stadium Likas, Kota Kinabalu menentang Sabah, malam kelmarin tidak kesampaian selepas mereka diikat seri tanpa jaringan.
Anak-anak buah Peter Butler dipaksa bekerja keras dengan diberi tentangan cukup hebat sebelum terpaksa berpuas hati dengan satu mata yang berjaya dibawa pulang ke Kota Bharu.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim ketika dihubungi nyata menzahirkan kelegaan kerana pasukannya berjaya mencuri satu mata dan berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah dalams aingan liga setakat ini.
Menurutnya, Sabah beraksi lebih baik berbanding Kelantan dalam perlawanan tersebut dan jelas menguasai perlawanan dengan aksi yang agresif melalui beberapa gerakan dan serangan berbahaya.
"Percubaan Leopold Alfonso Otong pada minit-minit akhir perlawanan terkena tiang gol, kalau tidak sudah pasti kita terpaksa berputih mata menerima kekalahan pertama dalam saingan liga musim ini.
"Apa yang saya jangkakan sebelum ini menjadi kenyataan. Memang sukar beraksi di Kota Kinabalu dan Sabah beraksi bermati- matian untuk mengalahkan kita. Saya fikir mana-mana pasukan lain pun menghadapi situasi yang sama apabila bertemu mereka di sana," katanya.
Tambahnya, kehebatan pemain import Sabah, Micheal Baird sering memberi masalah kepada pasukan, terutamanya benteng pertahanan yang terpaksa bekerja keras untuk mengekang asakan mereka.
"Dia banyak memberi masalah kepada benteng pertahanan kita. Beberapa gerakan serta kerajinannya untuk turun mendapatkan bola serta membuka ruang kepada rakan sepasukan begitu mengagumkan," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai tindakan Peter Butler mengeluarkan kedua-dua pemain import, Mohammed Ghaddar dan Obinna Nwaneri dalam perlawanan tersebut, Azman seperti 'merestui' tindakan tersebut.
"Tindakan tersebut merupakan satu keputusan yang tepat setelah mereka dilihat gagal memberikan sumbangan berkesan kepada pasukan.
"Nwaneri terpaksa dikeluarkan pada minit ke-72 perlawanan setelah didapati tidak cukup cergas dalam perlawanan ini. Saya tidak salahkannya kerana dia sudah lama tidak beraksi dan baru beberapa kali menjalani latihan bersama kita.
"Ghaddar pula masih mempunyai penyakit lama, masih tercari-cari rentak dan tidak begitu efektif dalam perlawanan ini. Kita terpaksa mengeluarkan dia pada awal babak kedua dan digantikan dengan Ramzul Zahini (Adenan)," jelasnya.
Kelantan bakal melayan kunjungan musuh setempat, Terengganu di gelanggang sendiri malam esok.
Al Jabbar penaja rasmi jersi The Red Warriors

SYARIKAT kesihatan Al Jabbar Group mengorak langkah apabila menjadi penaja rasmi jersi pasukan Kelantan yang akan bertanding dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Mac depan.
Sebagai satu-satunya penaja rasmi jersi Kelantan di Piala AFC, pemain The Red Warriors akan menyarung jersi hitam dan putih yang tertera logo Al Jabbar dalam mana-mana pertandingan AFC yang disertai pasukan itu di peringkat Asia.
Pelancaran jersi itu dilakukan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam sebelum perlawanan persahabatan antara Kelantan menentang kelab dari Singapura, Balestier Khalsa FC. Pegawai Khas Al Jabbar Group, Abdul Mizal Abdul Majid berkata pihaknya bersetuju meneruskan tajaan musim ini berdasarkan prestasi The Red Warriors.
“Kita bersetuju menaja pasukan Kelantan pada musim ini dengan menyumbang jersi yang akan digunakan dalam pertandingan peringkat Asia. Selain itu, kami juga akan mengeluarkan aksesori seperti topi dan jaket,” katanya. Abdul Mizal berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat berkenaan untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kebangkitan bola sepak negeri itu dan akan terus bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Katanya, Al-Jabbar mempunyai hak eksklusif menjual jersi terhad itu di semua butik mereka di seluruh Malaysia.
“Kepada pembeli jersi, cabutan bertuah akan dibuat dan seorang atau dua pemenang akan dibawa menonton perlawanan AFC di luar negara yang membabitkan pasukan Kelantan,” katanya.
Nwaneri, Okocha sah beraksi malam esok

Hasrat penyokong setia Kelantan untuk menyaksikan kelibat dua pemain import terbaru, Obinna Nwaneri dan Samad Awudu Okocha tercapai apabila kedua-duanya sah beraksi menentang kelab Balestier Khalsa FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Kawalan Pintu dan Tiket Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Othman Zakaria berkata, mengesahkan kedua-dua pemain itu akan beraksi setelah segala urusan dokumentasi berkaitan mereka berjaya diselesaikan dalam masa terdekat.
“Sebelum ini Nwaneri gagal di turunkan ketika Kelantan bertemu skuad senior kebangsaan di Bukit Jalil Rabu lalu. Namun hari ini saya mengesahkan beliau dan Okocha akan menyarung jersi Kelantan dalam perlawanan malam esok,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasanya semalam.
“Saya berharap peminat setia The Red Warriors hadir beramai-ramai ke stadium malam esok.
Sementara itu, Othman berkata, sebanyak 10,000 tiket perlawanan Kelantan menentang kelab Balestier Khalsa FC akan mula dijual di kaunter tiket stadium bermula hari ini.
“Tiket perlawanan akan dijual bermula jam 9 hingga 12 tengah hari ini dan disambung jam 3 hingga 6 petang. Jadi saya harap peminat memanfaatkan cuti rehat pada hari ini dengan membeli tiket lebih awal.
“Harga tiket bagi perlawanan ini ialah RM30 bagi tempat duduk astaka utama, RM20 astaka kedua, RM12 tiket terbuka dan RM5 untuk kanak-kanak bawah umur 12 tahun,” katanya.
Kelantan bukan tandingan untuk Harimau Malaya

Enam tonggak Kelantan malam tadi sebaliknya turun dengan misi lebih besar mempertahankan maruah Harimau Malaya.
Gol pasukan kebangsaan diledakkan Asraruddin Putra Omar dan Shahurain Abu Samah pada separuh masa pertama ditambah masing-masing satu gol daripada Abdul Hadi Yahya, S. Kunanlan dan Izuan Solahudin menutup pesta gol pada minit ke-90 perlawanan.
Rata-rata pemain yang membarisi skuad negara dalam perlawanan ini merupakan pemain yang kurang berpengalaman di peringkat antarabangsa namun apa yang lebih utama bagaimana ketua jurulatih negara, K. Rajagobal melihat tahap permainan anak-anak buahnya seperti yang diharapkannya.
Sebahagian besar perlawanan menyaksikan Norshahrul dilihat bergandingan dengan Abdul Manaf Mamat dan dibantu Ashaari Samsudin yang diletakkan di posisi kegemarannya, sayap kiri dan di seberang sana Shahurain Abu Samah memainkan peranannya.
Shakir Saari diberi peranan untuk melicinkan pergerakan bahagian tengah selain Safiq Rahim yang kembali memakai lilitan kapten.
Di bahagian pertahanan, Bunyamin Umar terpaksa bermain di posisi asing selaku bek kanan selain Subramaniam, Faizal Muhammad seta Asraruddin Omar Putra.
The Red Warriors memberi ancaman pertengahan babak pertama sahaja dan dalam baki 45 minit pula kurang bermaya.
Boleh dikatakan, barisan Rajagobal tidak diuji langsung apatah lagi dengan tempo permainan yang agak perlahan jika dibandingkan corak skuad kebangsaan sebelum ini.
Apa yang mendukacitakan, pemain seperti Muhammad Ghaddar, Danny Antwi dan Obinna Nwaneri gagal menepati kualiti mereka sebagai bintang import yang boleh mengkucar-kacirkan pertahanan negara.
Beberapa pemain dilihat masih memerlukan lebih banyak lagi masa dan pendedahan untuk mencapai keserasian terutama bagaimana untuk memerangkap kubu lawan dengan lebih berkesan menerusi bahagian tengah.
Kali ini, pemain sayap banyak mencipta peluang dengan hantaran rendah di depan pintu gol untuk menggegar gawang Kelantan bocor.
Pada separuh masa kedua, Malaysia menguasai sepenuhnya perlawanan dan pemain-pemain gantian juga tidak mengecewakan untuk lebih mencengkam bahagian midfield dan pemain seperti Mohd Fauzan Dzulkifli menunjukkan potensi yang dimilikinya serta kemasukkan G. Mahathevan di selaku pertahanan tengah mampu membaca permainan dengan baik selain ketenangan yang dimilikinya.
Para pemain lebih gemar melakukan hantaran-hantaran pendek sebelum melakukan umpanan yang mampu menghukum pertahanan lawan.
Ini menunjukkan mereka memiliki idea dan tidak gopoh untuk terus menghantar bola ke pintu gol lawan namun keupayaan sebenar mereka masih belum teruji dengan perlawanan seperti ini.






