.:Follow Us:.
Bojan: Persembahan Kelantan kurang memuaskan

Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika bertemu Kuala Lumpur dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.
Kelantan Tagih Penyudah Mat Yo

DERETAN peluang terhidang di depan gawang pasukan kelab Vietnam, Navibank Saigon yang gagal disempurnakan penyerang trio import membuktikan Kelantan sememangnya menagih bisa penyerang prolifiknya, Norshahrul Idlan Talaha.
Ketiadaan penjaring terbanyak Kelantan musim lalu itu, sememangnya dirasai peminat setia The Red Warriors (TRW) yang seolah-olah kecewa dengan persembahan trio import, Mohamad Ghaddar, Nwoha Onyekachi dan Dennis Antwi.
Norshahrul yang mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan ketika beraksi menentang Sarawak dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu tempoh hari sememangnya tidak pernah menghampakan peminat apabila tidak pernah mensiakan peluang terhidang.
Dalam aksi sulung kumpulan H bertemu kelab Vietnam, Navibank Saigon 2012 malam kelmarin, Kelantan yang menurunkan semua empat importnya sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan.
Hujan semakin lebat pada penghujung separuh masa pertama menyebabkan aksi babak kedua berlangsung dalam keadaan kurang lancar apabila hampir separuh bahagian padang ditakungi air.
Menyedari jentera serangan perlu diperkuat, Bojan mengeluarkan Antwi dan memasukan S Chanturu pada minit ke-72 serta Nor Farhan Muhammad menggantikan Nurul Azwan Roya minit ke-80, namun segala usaha tetap gagal menembusi kekebalan penjaga dari Brazil, Phan Van Santos.
Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, pemain gementar pada 15 hingga 20 minit pertama, tetapi selepas rehat mereka lebih yakin apabila menguasai permainan.
Piala AFC: Kelantan, Navibank Saigon seri tanpa gol

JUARA Liga Super 2011, Kelantan memulakan saingan kejohanan Piala AFC dengan langkah kurang meyakinkan apabila sekadar seri 0-0 menentang Navibank Saigon FC dari Vietnam dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.
Beberapa peluang terhidang di depan gawang pasukan lawan yang gagal disempurnakan jentera serangan Kelantan dalam 90 minit perlawanan menyebabkan ia terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Bermain dalam keadaan padang yang dipenuhi air berikutan hujan pada separuh masa kedua menyukarkan hantaran dan pergerakan bola.
Laporan Bernama pula menyebut, corak permainan pada babak pertama agak seimbang apabila kedua-dua pasukan melakukan serangan namun gagal mendapat penyudah yang baik.
Pemain tengah pasukan kelab dari Vietnam, Dang Khanh Lam membuat cubaan seawal minit kelapan namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan yang menurunkan empat pemain importnya gagal mempamerkan aksi cemerlang di hadapan 5,000 penonton.
Pemain import pasukan tuan rumah, Mohamad Ghaddar melepaskan peluang terbaik untuk menghasilkan gol pertama pada minit ke-26 tetapi rembatan kencangnya tersasar.
Keadaan padang becak pada babak kedua perlawanan ternyata menyukarkan kedua-dua pasukan untuk mengatur gerakan ketika melakukan serangan.
Kelantan yang memperoleh beberapa peluang gagal mengunakan peluang itu sehingga pengadil perlawanan dari Taiwan, Hsu Min Yu meniupkan wisel penamat
dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan kumpulan H, Kelab dari Indonesia, Arema Indonesia mencatat keputusan seri 1-1 dengan pasukan kelab dari Myanmar, Ayeyawady dalam perlawanan di Stadium Gajayana, Indonesia.
Hodak: Kelantan Perlu Perbaiki Kelemahan

KETUA Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak tekad meningkatkan kualiti persembahan The Red Warriors untuk mengharungi saingan musim ini, selain memastikan anak buahnya bersedia untuk perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Navibank Saigon (Vietnam) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.Biarpun masih baru mengendalikan Kelantan, Bojan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, (CEO) Al-Hamra Red Warriors (Army) mengakui, skuad yang baru dikendalikannya itu belum mencapai tahap diinginkan dan jurulatih dari Croatia itu akan mencari jalan untuk meningkatkan keupayaan pemain.Selain prestasi pemain, dia juga tekad mengubah persembahan Kelantan yang terkenal dengan hantaran jauh sebelum ini kepada hantaran pendek seperti dilakukan kebanyakan kelab terkemuka dunia.
“Kemenangan ke atas Negeri Sembilan adalah satu permulaan baik bagi saya, malah pemain dapat melaksanakan arahan tetapi saya lihat masih ada kelemahan yang perlu dibaiki.
“Ada ramai pemain yang bagus tetapi kita juga memerlukan cara permainan yang kreatif seperti pasukan hebat Barcelona, dan kita akan menuju ke arah itu tidak lama lagi,” katanya sejurus tamat perlawanan Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, kelmarin.
Kelantan yang kalah dalam perebutan Piala Sumbangsih 7 Januari lalu, menebus kekecewaan itu apabila pemain sayap kanannya, S Chanturu menjadi pemusnah kepada skuad ‘Hoben Jang Hoben’ pada saat akhir perlawanan, sekali gus memastikan tiga mata di laman sendiri.
Kelantan Tewaskan Negeri Sembilan

KELANTAN menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, malam ini.
Kelantan yang bermula garang di hadapan penyokong sendiri tidak perlu menunggu lama apabila memperoleh gol pertama seawal minit ke-2 hasil rembatan
kencang ketua pasukan Mohd Badri Radzi.
Gol pembuka semangat itu menyaksikan pasukan The Red Warriors terus mengasak namun beberapa percubaan tidak membuahkan hasil.
Negeri Sembilan kemudian menyamakan kedudukan apabila tandukan Shakir Ali pada minit ke-53 menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Hasrat pasukan pelawat itu untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagaimanapun tidak kesampaian apabila S. Chanturu menjaringkan gol kemenangan
Kelantan pada minit terakhir perlawanan. - Bernama
Bojan Sah Jurulatih Baru Kelantan

KETUA Pegawai Eksekutif Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army), Bojan Hodak secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter James Butler.
Keputusan untuk memilih Bojan selaku ketua jurulatih The Red Warriors yang baharu diputuskan oleh Jawatankuasa Pasukan Negeri, dipengerusikan Rosmadi Ismail semalam.
Bojan sebagai antara calon bagi menggantikan Butler apabila beliau diberi tanggungjawab mengendalikan sesi latihan skuad The Red Warriors.
Bojan diberi tanggungjawab itu apabila Butler menghilangkan diri, sebelum beliau mencapai persetujuan dengan KAFA untuk menamatkan kontraknya awal minggu lalu.
Rosmadi yang juga Naib Presiden KAFA berkata, pemilihan jurulatih kelahiran Croatia itu dibuat pihak pengurusan selepas mengambil kira pengalaman dan kepakaran yang miliki oleh bekas pengendali UPB-MyTeam itu.
"Dengan pengumuman ini, maka tamatlah segala spekulasi yang timbul sebelum ini tentang siapakah pengganti Peter James Butler.
"Kita yakin dan percaya, kehadiran Bojan Hodak mampu meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Butler sebelum ini," katanya di Kota Bharu semalam.
Rosmadi memberitahu, Bojan akan melatih Kelantan bagi tempoh setahun bermula Mac sehingga tamat musim ini.
"Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki beliau sememangnya ditagih untuk memastikan Kelantan mampu mencipta kejuaraan musim ini," jelasnya.
Bojan pernah menabur bakti selama tiga tahun bersama UPB-MyTeam bermula 2006, sebelum berhijrah ke Phnom Penh Crown FC dalam Liga Kemboja selama enam bulan pada 2011-2012.
Bojan Kendali Latihan Kelantan

JURULATIH dari Crotia, Bojan Hodak memulakan tugasnya, semalam, apabila ‘turun padang’ melatih pemain The Red Warriors, di Padang Mardi, Pasir Tumbuh, Kota Bharu.
Tinjauan mendapati Hodak serius mengawasi dan memberi tunjuk ajar kepada pemain sambil dibantu penolong jurulatih, Zahasmi Ismail dan Sidek Shamsuddin.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan diperoleh daripada jurulatih berusia 40 tahun itu kerana pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memaklumkan Hodak belum boleh ditemubual.
Semalam, Harian Metro melaporkan, Hodak diberi tanggungjawab melatih skuad Kijang apabila Peter James Butler menghilangkan diri selepas direhatkan pengurusan Kafa.
Sumber dipetik sebagai berkata, Hodak dilantik sebagai pengendali terbaru pasukan Kelantan untuk meneruskan perjuangan The Red Warriors.
Sementara itu, Butler pulang ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur malam tadi bagi mengadakan rundingan dengan pengurusan Kafa hari ini.
“Saya akan menghadiri satu perjumpaan dengan pengurusan Kafa bagi membincangkan pelbagai perkara yang berbangkit,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ketika ditanya mengenai status jawatannya dalam pasukan Kelantan, Butler enggan mengulas.
“Saya akan berjumpa pengurusan dan dalam tempoh sehari dua saya tidak akan beri apa-apa komen,” katanya.






